Gambaran am Asabiyyah

Ibn Khaldun menggunakan perkataan "Asabiyyah" bagi menggambarkan pertalian kepaduan antara manusia dalam kumpulan masyarakat. Ikatan ini, Asabiyyah, wujud pada tamadun setiap tahap, daripada masyarakat nomad hinggalah ke tahap negara dan empayar.[3] Asabiyyah amat kuat dalam fasa nomad, dan berkurangan apabila tamadun itu bertambah maju.[3] Apabila Asabiyyah ini merosot, ianya mungkin diganti oleh satu lagi Asabiyyah yang lebih kuat; justeru, tamadun bangkit dan jatuh, dan sejarah memerikan kitaran Asabiyyah yang berlaku.[3]

Ibn Khaldun menyatakan bahawa setiap dinasti (ataupun tamadun) memiliki benih kejatuhannya. Beliau menerangkan bahawa dinasti yang memerintah cenderung muncul di pinggir empayar-empayar besar, dan menggunakan Asabiyyah yang lebih kuat yang terdapat di kawasan-kawasan itu untuk menukar kepimpinan. Ini membayangkan bahawa pemerintah baharu mula-mulanya merupakan "orang gasar" berbanding pemerintah lama. Dalam proses memantapkan kedudukan mereka di tengah-tengah empayar, mereka menjadi bertambah cuai, kurang selaras, berdisiplin dan berwaspada, dan lebih mementingkan pemeliharaan kuasa dan gaya hidup di tengah-tengah empayar — yakni, kejelekatan dalaman dan ikatan dengan kumpulan asal pinggiran, Asabiyyah, menjadi semakin lenyap dan bertukar menjadi faham kepuakan dan individualisme, mengurangkan kedayaan mereka sebagai sebuah unit politik. Justeru, akan terwujud satu suasana dalam mana satu dinasti baharu timbul di pinggir wilayah kawalan mereka, menjadi kuat, dan berdaya menukar kepimpinanan, dan dengan itu memulakan kitaran baharu.

Kejelekatan ini wujud secara spontan di kalangan puak dan kumpulan kecil yang memiliki pertalian persaudaraan; dan ia boleh diperbesar dan dikembangakan melalui ideologi keagamaan. Kupasan Ibn Khaldun melihat bagaimana kepaduan ataupun kejelekatan ini membawa kumpulan kepada pencapaian kuasa akan tetapi mengandungi di dalamnya benih-benih — psikologi, sosial, ekonomi, politik — kejatuhan kumpulan, bagi diganti oleh kumpulan, dinasti atau empayar baharu, yang terikat dengan kejelekatan yang lebih muda dan cergas, atau lebih kuat.